PENGIKUT

Friday, 7 September 2012

KARANGAN TARGET SPM 2012....!


BAHAGIAN A

[30 markah]

[Masa dicadangkan : 45 minit]
Lihat grafik di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faktor-faktor kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.



FAKTOR-FAKTOR KEJAYAAN SESEORANG MURID DALAM PELAJARAN

PEMBELAJARAN DI BILIK DARJAH
PROGRAM SEKOLAH
KELAS TUISYEN
DORONGAN IBU BAPA


CONTOH KARANGAN

Belakangan ini, soal pembinaan modal insan adalah antara perkara yang menjadi agenda utama pembangunan negara. Selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, pembangunan modal insan menerusi bidang pendidikan telah diberi penekanan.  Hal ini cukup penting kerana kita memerlukan sejumlah besar golongan cerdik pandai bagi membolehkan negara bersaing di peringkat global. Sehubungan dengan itu, kejayaan murid-murid dalam pelajaran menjadi agenda perdana setiap sekolah kerana mereka merupakan modal insan yang bakal memacu negara agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Pada pendapat saya, pelbagai faktor  yang dapat dikenal pasti mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.

Pembelajaran di dalam bilik darjah merupakan faktor perdana yang mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Pembelajaran dan pengajaran yang berlaku secara kondusif di dalam bilik darjah merupakan kunci utama kejayaan seseorang murid. Bilik darjah yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik, susun atur peralatan yang memudahkan pergerakan pelajar, memiliki ciri-ciri keselamatan, bersih dan ceria menjadi pendorong kepada murid-murid untuk belajar dengan selesa. Apabila murid-murid berasa selesa, mereka akan lebih fokus terhadap pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah.  Jadi, apabila murid memberikan perhatian di dalam kelas, setiap perkara yang dipelajari dapat difahami dengan mudah. Menurut kajian yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Kaunseling di Universiti Kebangsaan Malaysia, 70 peratus kejayaan seseorang murid adalah tumpuan di dalam bilik darjah ketika proses pembelajaran dan pembelajaran, 29 peratus adalah inspirasi dan 1 peratus melibatkan genius. Oleh itu, berdasarkan kajian tersebut, dapat dirumuskan   bahawa proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah yang kondusif mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.

Seterusnya, program-program sekolah yang dirancang juga mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Program-program yang dirancang oleh Jawatankuasa Kurikulum Sekolah dan panitia mata pelajaran sama ada di dalam  atau di luar sekolah berupaya mencemerlangkan murid-murid. Program-program seperti Kem Wacana Akademik, Ceramah Teknik Menjawab , Bengkel Akademik, Cemamah Motivasi  dan sebagainya mampu meningkatkan keupayaan murid dalam pelajaran. Program-program yang dirancang seperti ini membolehkan murid-murid menguasai topik-topik utama dengan mudah dan berupaya menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Hal ini demikian kerana mereka sudah menghadapi soalan-soalan yang mirip peperiksaan sebenar dan telah berbincang  dengan guru dalam program yang dianjurkan. Tokoh motivasi negara, Datuk Dr. Mohd Fazilah Kamsah menegaskan bahawa jika seseorang melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang kali maka dia mampu menghadapi setiap cabaran dengan mudah kerana sudah melaluinya sebelum ini. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa program yang dirancang oleh pihak sekolah mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.

Selain itu, murid-murid yang mengikuti kelas-kelas tuisyen juga mampu berjaya dalam pelajaran. Ramai ibu bapa sekarang menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas tuisyen berbayar pada luar waktu persekolahan untuk menambahkan pengetahuan dan kemahiran anak-anak mereka dalam pelajaran. Mereka tidak menghiraukan tentang kos yang perlu dibayar kepada pusat tuisyen kerana mereka mengharapkan anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran. Kelas-kelas tuisyen sama ada secara individu atau kelompok mampu meningkatkan kemahiran murid dalam pelajaran. Murid-murid akan ditekankan oleh guru pusat tuisyen tentang teknik-teknik menjawab yang betul dan strategi untuk mendapat markah yang tinggi. Murid-murid akan mendapat pendedahan tersebut secara terus berbanding guru-guru di sekolah. Hal ini mampu meningkatkan kemahiran pelajar dalam setiap mata pelajaran yang diikuti, sekali gus mereka mampu menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang kerana peribahasa ada menyatakan bahawa alah bisa tegal biasa. Jadi, jelas menunjukkan bahawa murid-murid yang menghadiri kelas-kelas tuisyen mampu berjaya dalam pelajaran.

Akhir sekali, dorongan daripada ibu bapa juga mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak mereka. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Tiada ibu bapa yang  mahu melihat anak-anak mereka gagal melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Mereka akan melakukan apa-apa sahaja bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan kerana pada mereka di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Mereka akan memberikan dorongan dan kata-kata motivasi kepada anak-anak mereka agar belajar bersungguh-sungguh supaya kejayaan dapat digapai. Selain motivasi, ibu bapa akan sentiasa berdoa agar anak-anak mereka dipermudahkan ketika menghadapi peperiksaan. Mereka mengharapkan anak-anak mereka akan tenang apabila menduduki peperiksaan dan dapat menjawab soalan dengan mudah. Apabila anak-anak merasakan diri mereka dihargai maka mereka akan belajar bersungguh-sungguh supaya harapan ibu bapa dapat direalisasikan. Mereka berazam untuk menghadiahkan kejayaan kepada ibu bapa sebagai balasan atas jasa dan pengorbanan mereka selama ini. Jadi, jelas menunjukkan bahawa dorongan ibu bapa mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.

Kesimpulannya, aset yang paling berharga bagi sesebuah negara adalah warganya. Modal insan inilah yang menjadi aset yang boleh disuntik nilai tambahnya untuk menjana pembangunan negara. Kejayaan murid-murid dalam pelajaran menjadi keutamaan dalam membina modal insan yang berwawasan. Anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran dapat menjana idea untuk memacu negara ke arah menjayakan Wawasan 2020. Jadi, ibu bapa memainkan tanggungjawab yang besar bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran kerana di bahu anak-anak inilah terletak harapan untuk menggantikan barisan kepimpinan negara yang ada sekarang selaras dengan cogan kata pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara.


(Tinggalkan komen anda, sekurang-kurangnya ucap terima kasih jika mengambil bahan ini....)

26 comments:

  1. Cikgu terima kasih .. Doa kan saya berjaya

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Assalammualaikum cikgu,boleh saya tahu macammana nak menghubungi cikgu?

    ReplyDelete
  4. terima kasih cikgu semoga sentiasa menjadi guru yang dedikasi mendidik anak bangsa.

    ReplyDelete
  5. Terima kasih Cikgu Azaman...dapat membantu sedikit sebanyak dalam pencetusan idea.

    ReplyDelete