PENGIKUT

Wednesday, 19 September 2012

USAHA-USAHA MENINGKATKAN PENGGUNAAN PUSAT SUMBER SEKOLAH


KARANGAN BAHAGIAN A

Tugasan – Usaha Meningkatkan Penggunaan Pusat Sumber Sekolah

Pusat sumber sekolah memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan seseorang murid. Pusat sumber sekolah menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan kepada murid untuk mengakses pelbagai bahan bacaan bagi menyokong  proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah. Dengan kata lain, pusat sumber sekolah menjadi tempat untuk mengumpul, menyusun dan menyebarkan bahan pembelajaran dan pengajaran sama ada secara bercetak atau bukan bercetak bagi memenuhi keperluan murid dan guru. Oleh itu, pelbagai usaha boleh diambil untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dalam kalangan murid dan guru.

Suasana yang kondusif perlu diwujudkan bagi meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Susunan rak buku yang memudahkan pergerakan murid untuk mencari bahan bacaan yang dikehendaki, kedudukan meja komputer yang teratur, ruang membaca yang selesa dan suasana yang tenang serta ceria mampu menarik murid-murid mengunjungi pusat sumber sekolah. Hal ini demikian kerana suasana yang kondusif dapat menenangkan fikiran, sekali gus mendorong murid-murid untuk membuat rujukan dengan lebih fokus. Mereka akan berasa selesa kerana dapat membuat rujukan secara kendiri serta mampu merancang keperluan mengikut kehendak masing-masing. Sebagai contoh, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah mengingatkan pengurusan sekolah supaya memperkasakan pusat sumber sekolah kerana  langkah tersebut dapat membantu dan membaiki kualiti pendidikan untuk memberikan asas yang kukuh bagi membentuk masyarakat yang berpengetahuan luas. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa suasana yang kondusif mampu meningkatkan penggunaan pusat sumber dalam kalangan murid dan guru.

Selain itu, memperbanyak bahan bacaan dan rujukan juga mampu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Pusat sumber sekolah yang dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan seperti buku, majalah, akhbar dan komputer dengan kemudahan internet dapat memudahkan murid-murid membuat rujukan. Pusat sumber yang lengkap dan menepati kehendak pelanggannya dapat membolehkan proses capaian maklumat dilaksanakan dengan berkesan. Sebagai contoh, jika guru mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan meminta murid-murid melakukan kajian tentang tokoh-tokoh negara seperti sumbangan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Muhammad, mereka dapat mengakses maklumat yang diperlukan  dengan cepat melalui kemudahan komputer dan internet yang disediakan di pusat sumber sekolah. Murid-murid dapat menjimatkan masa kerana mereka tidak perlu ke kedai buku untuk mencari maklumat yang diperlukan oleh guru. Langkah ini ibarat sambil menyelam minum air kerana murid-murid juga dapat menjimatkan wang kerana bahan rujukan yang diperlukan terdapat di pusat sumber sekolah. Jadi, jelas menunjukkan bahawa pusat sumber sekolah yang lengkap dengan bahan bacaan dapat menarik minat murid dan guru untuk mengunjunginya.

Seterusnya, mengadakan pertandingan banyak membaca juga mampu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Pertandingan membaca seperti bahan-bahan bacaan berunsur fiksyen bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta bahan bacaan bukan fiksyen bahasa Melayu dan bahasa Inggeris berupaya mendorong murid-murid mengunjungi pusat sumber sekolah. Hal ini kerana mereka akan mengunjungi pusat sumber untuk meminjam bahan bacaan bagi menyahut program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Mereka akan membaca seberapa banyak bahan bacaan untuk dipenuhkan dalam Buku Rekod Membaca yang disediakan oleh pihak penganjur. Sebagai contoh, program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) mampu mendorong murid-murid membaca seberapa banyak bahan bacaan kerana pada akhir tahun pelbagai anugerah akan diberikan kepada murid-murid yang menunjukkan rekod bacaan yang paling banyak. Anugerah seperti emas, perak dan gangsa beserta sijil dan wang tunai mampu menggalakkan murid-murid mengunjungi pusat sumber sekolah untuk meminjam bahan bacaan. Oleh itu, pertandingan banyak membaca dapat meningkatkan penggunaan pusat sumber dalam kalangan murid.

Kesimpulannya, pusat sumber sekolah yang merupakan gedung ilmu perlu diperkasakan kerana  ilmu dalam pelbagai bidang yang terdapat di situ mampu melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan. Modal insan inilah yang akan memacu negara untuk merealisasikan aspirasi kerajaan menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti. Kita mahu negara Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain pada tahun tersebut. Oleh itu, usaha untuk menjana modal insan berminda kelas pertama perlu digembleng oleh semua pihak agar aspirasi ini dapat direalisasikan.

3 comments: